Thursday, September 2, 2010

“Untukmu, sahabatku...”

Salam ukhuwah, salam perpaduan...

Di sini, saya ingin nukilkan suatu cerita yang saya peroleh dalam sebuah majalah. Cerita ini sangat menyentuh hati saya. Sama-sama kita hayati...(^_^)


            Hari itu, dua orang sahabat baik mengembara meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari tempat yang lebih makmur untuk memulakan penghidupan baru. Setelah sehari berjalan, tiba-tiba tercetus perselisihan faham antara dua sahabat itu ketika mereka sampai di sebuah persimpangan.
            Sahabat pertama, yang besar dan tegap tubuhnya, tanpa berfikir panjang telah menampar sahabat karibnya itu kerana tidak bersetuju dengannya supaya mereka mengambil simpang ke kiri. Sahabat yang ditampar tadi, terkejut. Dia tidak menyangka sahabat karibnya tergamak berbuat demikian.
            Air matanya bergenang. Sahabat yang kurus dan kecil badannya itu termenung seketika. Dia mengambil sebatang kayu, lalu memandang ke tanah.
HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENAMPAR PIPIKU’ tulisnya di atas pasir tempatnya berdiri.
            Mereka terus berjalan meredah hutan dan bukit, hinggalah sampai di sebatang sungai yang dalam dan bertebingkan batu-batu besar. Dua sahabat itu meneguk air sungai tersebut, dan kemudian mandi untuk menyegarkan kembali badan yang letih.
            Entah bagaimana, tiba-tiba sahabat yang berbadan kecil dan kurus itu tergelincir dari atas batu tempatnya berdiri, lalu dihanyutkan arus sungai yang deras. Hampir saja sahabat ini lemas. Tetapi dia bernasib baik kerana sahabat yang berbadan besar serta tegap, berjaya menyelamatkannya.
            Di atas tebing yang penuh dengan batu-batu besar itu, sahabat yang berbadan kurus itu mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang telah menyelamatkannya. Kemudian, dia menulis sesuatu pada permukaan sebongkah batu besar berhampiran sungai tersebut dengan perkataan, ‘ HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU ‘.
            Sahabat yang bertubuh besar itu terpinga-pinga. Dia bertanya, “Selepas aku menampar mukamu, kau tulis di atas pasir. Sekarang selepas aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis di atas batu. Kenapa?”
            Jawab sahabat yang bertubuh kecil, “Apabila seseorang melukakan hati kita, catatkan ia di atas pasir supaya ia akan terkambus apabila ditiup angin kemaafan. Tetapi apabila seseorang itu telah membuat kebaikan kepada kita, nukilkan ia di atas batu supaya angin kemarahan tidak mampu memadamkannya.”


Begitulah cerita yang ingin saya kongsikan pada post kali ini. Di bulan ramadhan yang bakal meninggalkan kita, dengan diiringi bulan syawal yang bakal tiba, diharapkan segala kesalahan yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat kita dapat dimaafkan kerana ia akan menyucikan hati kita. Semoga cerita yang saya kongsikan ini dapat manfaat untuk kita bersama...(^_^)


                            

No comments:

Post a Comment