Friday, September 24, 2010

Perginya Seorang....

Salam sejahtera dan salam perpaduan.

Sudah lama saya tidak meng”update” blog saya ini. Mungkin sudah ketandusan idea atau kesuntukan masa. Tetapi itu bukan pokok pangkalnya. Yang menjadi titik persoalannya adalah kerajinan kita.
Banyak yang ingin saya kongsikan di ruangan siber yang luas ini. Pelbagai cerita suka dan duka saya lalui sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang masih berbaki 14 hari lagi. Ada yang sedih, ada juga yang pedih. Semuanya dirangkumkan menjadi sebuah cerita yang akan terus kekal dalam ingatan dan menjadi sejarah.

Bermula dengan pemergian moyang saya, pada 27 Ramadan bersamaan dengan 6 September 2010. Pada malam itu, suasana sungguh tenang dan saya rasa lain sangat pada malam itu. Terasa sesuatu yang akan terjadi pada malam itu. Mak yang pada kebiasaannya berada di dapur untuk membuat kuih raya membaca Al-Quran di ruang tamu. Adik-adik yang lain pula menonton televisyen yang menyiarkan cerita yang berkisarkan kematian seseorang.

Tepat jam 10.30 malam, ayah menerima panggilan daripada saudara di kampung yang menyatakan moyang saya sudah tiada. Berderau darah saya mendengar berita itu. Kerana kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah pada cuti setengah tahun yang lepas. Pada kebiasaannya, saya akan berjumpa dengannya sebelum bulan Ramadan. Tetapi, pada tahun ini saya tidak sempat berjumpa dengannya yang telah menyahut seruan Ilahi.

Sejenak, saya terfikir. Dalam usia yang begitu lanjut beliau masih boleh pergi ke kebun untuk menoreh getah dan melakukan tugasan yang biasanya dilakukan oleh orang yang masih muda! Ini yang membuatkan saya kagum dengannya. Beliau juga merupakan seorang yang disegani oleh rakan dan masyarakat di kampung. Seluruh ahli keluarga terasa akan kehilangannya. Biasanya, beliau akan bercerita mengenai zaman mudanya dahulu, sejarah keluarga saya. Namun kini, ianya menjadi sebuah sejarah yang tidak akan saya lupakan.

Namun, apa yang telah pergi, biarkan ia berlalu. Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan dan tanggungjawab kita. Mungkin esok lusa, hari ini mungkin ajal kita pula. Siapa tahu? 3 perkara yang tidak akan terputus antara orang yang telah mati dengan orang masih hidup.

1.       Doa anak yang soleh.
2.       Ilmu yang bermanfaat.
3.       Sedekah jariah yang ikhlas.

Oleh itu, kita perlu menyiapkan diri kita dengan selengkapnya agar kita bertemu dengan-Nya kelak dengan keadaan yang cukup bersedia dengan amalan yang kita lakukan sepanjang hidup kita. Pada usia muda inilah kita perlu melakukan ibadah yang sebanyak-banyaknya. Bukan ketika usia kita sudah lanjut, baru kita nak buat amal ibadah. Pada waktu itu, waktu sudah begitu suntuk dan kesihatan kita belum terjamin lagi. Ibarat bidalan melayu, “rumah kata pergi, kubur kata mari”. Jadi, sebelum kita jadi begitu, marilah kita sama-sama meningkatkan amalan kita. Saya menulis ini untuk diri sahabat-sahabat sekalian dan yang paling penting untuk diri saya sendiri. Jadilah umat yang terbilang!

     p/s : gambar hari raya yang lepas.                       

Thursday, September 2, 2010

“Untukmu, sahabatku...”

Salam ukhuwah, salam perpaduan...

Di sini, saya ingin nukilkan suatu cerita yang saya peroleh dalam sebuah majalah. Cerita ini sangat menyentuh hati saya. Sama-sama kita hayati...(^_^)


            Hari itu, dua orang sahabat baik mengembara meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari tempat yang lebih makmur untuk memulakan penghidupan baru. Setelah sehari berjalan, tiba-tiba tercetus perselisihan faham antara dua sahabat itu ketika mereka sampai di sebuah persimpangan.
            Sahabat pertama, yang besar dan tegap tubuhnya, tanpa berfikir panjang telah menampar sahabat karibnya itu kerana tidak bersetuju dengannya supaya mereka mengambil simpang ke kiri. Sahabat yang ditampar tadi, terkejut. Dia tidak menyangka sahabat karibnya tergamak berbuat demikian.
            Air matanya bergenang. Sahabat yang kurus dan kecil badannya itu termenung seketika. Dia mengambil sebatang kayu, lalu memandang ke tanah.
HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENAMPAR PIPIKU’ tulisnya di atas pasir tempatnya berdiri.
            Mereka terus berjalan meredah hutan dan bukit, hinggalah sampai di sebatang sungai yang dalam dan bertebingkan batu-batu besar. Dua sahabat itu meneguk air sungai tersebut, dan kemudian mandi untuk menyegarkan kembali badan yang letih.
            Entah bagaimana, tiba-tiba sahabat yang berbadan kecil dan kurus itu tergelincir dari atas batu tempatnya berdiri, lalu dihanyutkan arus sungai yang deras. Hampir saja sahabat ini lemas. Tetapi dia bernasib baik kerana sahabat yang berbadan besar serta tegap, berjaya menyelamatkannya.
            Di atas tebing yang penuh dengan batu-batu besar itu, sahabat yang berbadan kurus itu mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang telah menyelamatkannya. Kemudian, dia menulis sesuatu pada permukaan sebongkah batu besar berhampiran sungai tersebut dengan perkataan, ‘ HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENYELAMATKAN NYAWAKU ‘.
            Sahabat yang bertubuh besar itu terpinga-pinga. Dia bertanya, “Selepas aku menampar mukamu, kau tulis di atas pasir. Sekarang selepas aku selamatkan kau daripada lemas, kau tulis di atas batu. Kenapa?”
            Jawab sahabat yang bertubuh kecil, “Apabila seseorang melukakan hati kita, catatkan ia di atas pasir supaya ia akan terkambus apabila ditiup angin kemaafan. Tetapi apabila seseorang itu telah membuat kebaikan kepada kita, nukilkan ia di atas batu supaya angin kemarahan tidak mampu memadamkannya.”


Begitulah cerita yang ingin saya kongsikan pada post kali ini. Di bulan ramadhan yang bakal meninggalkan kita, dengan diiringi bulan syawal yang bakal tiba, diharapkan segala kesalahan yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabat kita dapat dimaafkan kerana ia akan menyucikan hati kita. Semoga cerita yang saya kongsikan ini dapat manfaat untuk kita bersama...(^_^)